10 Sahabat Nabi yang Dijamin Masuk Surga
10 Sahabat Nabi yang Dijamin Masuk Surga
Siapakah dia sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang telah pun
dijamin syurga oleh Allah S.W.T dan RasulNya S.A.W sejak mereka masih di dunia
lagi?? Sama-samalah kita mengenali diri mereka yang amat bertuah ini.
Sahabat Rasulullah S.A.W yang dijamin masuk syurga berdasarkan hadis
berikut: Tercatat dalam “ARRIYADH ANNADHIRAH FI MANAQIBIL ASYARAH“ dari sahabat
Abu Dzar r.a, bahawa Rasulullah S.A.W masuk ke rumah Aisyah r.a dan bersabda:
“Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?” Aisyah menjawab :
“Tentu, ya Rasulullah.” Lalu Nabi S.A.W bersabda, ”Ada sepuluh orang yang
mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu masuk syurga dan kawannya
adalah Ibrahim, Umar masuk syurga dan kawannya Nuh, Utsman masuk syurga dan
kawannya adalah Aku, Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakaria,
Talhah masuk syurga dan kawannya adalah Daud, Azzubair masuk syurga dan
kawannya adalah Ismail, Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman, Said
bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran, Abdul Rahman bin Auf
masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam, Abu Ubaidah ibnu Jarrah masuk
syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”
Kisah singkat 10 Sahabat Radhiallahu Taala Anhum :
1. Abu Bakar bin Abi Qohafah (Assiddiq) r.a,
adalah seorang
Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah S.A.W, hanya berbeza keluarga.
Bila Abu Bakar r.a berasal dari keluarga Tamimi, maka Rasulullah S.A.W berasal
dari keluarga Hasyimi. Keutamaannya, Abu Bakar r.a adalah seorang pedagang yang
selalu menjaga kehormatan diri. Ia seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta
memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat
Rasulullah S.A.W yang memiliki karakter yang mirip dengan Rasulullah S.A.W.
Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar r.a minum arak atau pun
menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara
beliau dengan Rasulullah S.A.W sehingga tak hairan kemudian beliau menjadi
khalifah pertama setelah Rasulullah S.A.W wafat. Rasulullah S.A.W selalu
mengutamakan Abu Bakar r.a berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak
menonjol di tengah -tengah orang lain.
Rasulullah S.A.W bersabda : “Jika ditimbang keimanan Abu Bakar
dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar. ”(HR.
Baihaqi)
Al Quran pun banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti
yang dikatakan dalam firmanNya, surah Al Lail ayat 5-7, 17-21, Fushilat ayat
30, At Taubah ayat 40. Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar r.a
telah banyak memperbaharui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan
kaum muslimin yang enggan membayar zakat. Pada masa pemerintahannyalah
penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.
2. Umar Ibnu Khattab r.a,
ia berasal dari kabilah yang sama dengan
Rasulullah S.A.W. Umar r.a masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah
r.a dan suami adiknya Said bin Zaid r.a pada tahun keenam kenabian dan sebelum
Umar r.a, telah ada 39 orang lelaki dan 26 wanita yang memeluk Islam. Di sisi
kaumnya Umar r.a dikenal sebagai seorang yang pandai berdiskusi, berdialog,
memecahkan permasalahan serta berwatak kasar. Setelah Umar r.a masuk Islam,
dakwah kemudian dilakukan secara terang-terangan. Begitupun di saat hijrah,
Umar r.a adalah segelintir orang yang berhijrah dengan terang-terangan. Ia
sengaja berangkat pada siang hari dan melewati gerombolan Quraisy. Ketika
melewati mereka, Umar r.a berkata, ”Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju
Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin
anaknya menjadi yatim, silakan menghalang aku di belakang lembah ini!”
Mendengar perkataan Umar r.a tak seorang pun yang berani mencegah Umar. r.a
Banyak pendapat Umar r.a yang dibenarkan oleh Allah dengan menurunkan firmanNya
seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay, ataupun saat penentuan
perlakuan terhadap tawanan perang Badar, pendapat Umar dibenarkan Allah dengan
turunnya ayat 67 surat Al Anfal.
Sebagai khalifah Islam yang kedua, Umar adalah seorang yang sangat
memperhatikan kesejahteraan umatnya, sampai setiap malam ia berkeliling kerana
khuatir masih ada yang belum terpenuhi keperluannya, serta kekuasaan Islam pun
semakin meluas keluar jazirah Arab.
3. Utsman bin Affan r.a,
sebuah Hadis yang menggambarkan peribadi
Utsman r.a : “Orang yang paling kasih sayang di antara ummatku adalah Abu
Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling
bersifat pemalu adalah Utsman. (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi).
Utsman r.a adalah seorang yang sangat dermawan, dalam sebuah persiapan pasukan
pernah Utsman r.a yang membiayainya seorang diri. Setelah kaum muslimin hijrah,
saat kesulitan air, Utsmanlah yang membeli sumur dari seorang Yahudi untuk
kepentingan kaum muslimin. Pada masa kepemimpinannya Utsman r.a merintis
penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf, dari lembaran-lembaran yang mulai
ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a.
4. Ali bin Abi Talib r.a,
merupakan sepupu Rasulullah S.A.W dan
kanak-kanak pertama yang masuk Islam. Beliau yang menggantikan posisi Rasulullah
S.A.W di tempat tidurnya saat beliau hijrah. Semasa berlakunya perang Badar,
Ali r.a menumpaskan seorang jaguh Quraisy iaitu Walid ibni Utba. Beliau
mengahwini Fatimah r.a, anak Rasulullah S.AW. Ketika itu beliau berumur 25
tahun dan Fatimah berumur 18 tahun. Kerana kemiskinannya Ali r.a menjual baju
besi perangnya untuk dijadikan mahar. Walaupun begitu para sahabat lain seperti
Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan Saidina Abdul Rahman bin Auf
berbesar hati mengeluarkan perbelanjaan majlis perkahwinan kedua pengantin itu
demi memuliakan Rasulullah S.A.W, kekasih yang amat mereka cintai.
5. Talhah bin Ubaidillah r.a,
Talhah bin Ubaidillah r.a, yang pada perang Uhud terkena lebih
dari tujuh puluh tikaman atau panah serta jari tangannya putus. Namun Talhah
r.a yang sangat berani dan kuat inilah yang menjadi perisai melindungi
Rasulullah S.A.W di saat-saat genting, beliau memapah Rasulullah S.A.W yang
tubuhnya telah berdarah menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan
pertempuran saat kaum musyrikin pergi meninggalkan medan peperangan kerana
mengira Rasulullah S.A.W telah wafat. Saat itu Talhah r.a berkata kepada
Rasulullah S.A.W, ”Aku tebus engkau ya Rasulullah dengan ayah dan ibuku.” Nabi
S.A.W tersenyum seraya berkata, ”Engkau adalah Talhah kebajikan.” Sejak itu beliau
mendapat julukan Burung Helang hari Uhud. Rasulullah S.A.W pernah berkata
kepada para sahabatnya, ”Orang ini termasuk yang gugur dan barang siapa yang
senang melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah
Thalhah.”
6. Azzubair bin Awwam r.a,
sahabat yang berikutnya, adalah sahabat
karib dari Talhah r.a. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan hijrah pada
usia 18 tahun. Dengan seksaan yang ia terima dari pakciknya sendiri.
Kepahlawanan Azzubair ibnu Awwam r.a terlihat dalam perang Badar saat ia
berhadapan dengan Ubaidah bin Said Ibnul Ash. Azzubair ibnu Awwam r.a berhasil
menombak kedua matanya sehingga akhirnya ia tersungkur tak bergerak lagi, hal
ini membuat pasukan Quraisy ketakutan.
Rasulullah sangat mencintai Azzubair ibnu Awwam r.a. Beliau pernah
bersabda, ”Setiap nabi memiliki pengikut pendamping yang setia (hawari), dan
hawariku adalah Azzubair ibnu Awwam.” Azzubair ibnu Awwam r.a adalah suami Asma
binti Abu Bakar r.a yang menghantarkan makanan pada Rasulullah S.A.W saat beliau
hijrah bersama ayahnya. Pada masa pemerintahan Umar r.a, saat panglima perang
menghadapi tentara Romawi di Mesir, Amr bin Ash r.a meminta bala bantuan pada
Amirul Mukminin, Umar r.a mengirimkan 4000 tentera yang dipimpin oleh 4 orang
panglima, dan ia menulis surat yang isinya, ”Aku mengirim empat ribu tentera
bantuan yang dipimpin oleh 4 orang sahabat terkemuka dan masing-masing bernilai
1000 orang. Tahukah anda siapa empat orang panglima itu? Mereka adalah Ubadah
ibnu Assamit, Almiqdaad ibnu Aswad, Maslamah bin Mukhalid, dan Azzubair bin
Awwam.” Demikianlah dengan izin Allah, pasukan kaum muslimin berhasil meraih
kemenangan.
7. Abdurrahman bin Auf r.a,
adalah seorang pedagang yang berjaya.
Namun saat berhijrah ia meninggalkan semua harta yang telah ia usahakan sekian
lama. Namun selepas berhijrah ke Madinah pun beliau kembali menjadi seorang
yang kaya raya, dan saat beliau meninggal, wasiat beliau adalah agar setiap
peserta perang Badar yang masih hidup mendapat 400 dinar, sedang yang masih
hidup saat itu sekitar 100 orang, termasuk Ali r.a dan Utsman. r.a Beliaupun
berwasiat agar sebahagian hartanya diberikan kepada ummahatul muslimin,
sehingga Aisyah r.a berdoa: “Semoga Allah memberi minum kepadanya air dari mata
air Salsabil di syurga.”
8. Saad bin Abi Waqqash r.a,
beliau adalah orang yang mula-mula
melepaskan anak panah dalam membela agama Allah, dan juga orang yang mula-mula
terkena anak panah. Seorang yang keislamannya sangat dikecam oleh ibunya, namun
tetap tabah, dan kukuh pada keislamannya. Saad bin Abi Waqqash r.a memeluk
Islam sewaktu berusia l7 tahun, dan keislamannya termasuk yang terdahulu di
antara para sahabat. Hal ini pernah diceritakannya sendiri, katanya:
"Pada suatu saat saya beroleh kesempatan termasuk 3 orang
pertama yang masuk Islam." Maksudnya bahawa beliau adalah salah seorang di
antara tiga orang yang paling awal masuk Islam. Sesungguhnya Saad bin Abi
Waqqash r.a adalah pakcik Nabi S.A.W juga. Kerana dia adalah dari Bani Zuhrah
sedangkan Bani Zuhrah adalah keluarga Aminah binti Wahab, ibunda Rasulullah
S.A.W.
9. Said bin Zaid r.a,
beliau adalah adik ipar Umar r.a. Adalah
orang yang dididik oleh seorang ayah yang beroleh hidayah Islam tanpa melalui
kitab atau nabi mereka seperti halnya Salman Al Farisi r.a, dan Abu Dzar Al
Ghifari r.a. Banyak orang yang lemah berkumpul di rumah mereka untuk memperoleh
ketenteraman dan keamanan, serta penghilang rasa lapar, kerana Said bin Zaid
r.a adalah seorang sahabat yang sangat dermawan dan murah tangan.
10. Abu Ubaidah Ibnu Jarrah r.a
Abu Ubaidah Ibnu Jarrah r.a, yang akhirnya terpaksa membunuh
ayahnya saat perang Badar, sehingga Allah menurunkan ayat Quran surah Al
Mujadilah ayat 22. Begitupun dalam perang Uhud, Abu Ubaidahlah yang mencabut
besi tajam yang terlekat pada kedua rahang Rasulullah S.A.W, dan dengan berbuat
begitu beliau rela kehilangan giginya. Abu Ubaidah r.a mendapat gelar dari
Rasulullah S.A.W sebagai pemegang amanah umat, seperti dalam sabda beliau :
“Tiap-tiap umat ada orang pemegang amanah, dan pemegang amanat umat ini adalah
Abu Ubaidah Ibnu Jarrah.”
Begitulah serba sedikit kisah dan keperibadian 10 sahabat yang
telah dijamin masuk syurga oleh Allah S.W.T dan RasulNya S.A.W di atas
sumbangan dan pengorbanan besar mereka terhadap Islam. Mudah-mudahan kita semua
mendapat iktibar dan pedoman untuk mengikuti jejak langkah mereka
semua..InsyaAllah..Amin...